DG-Georgetown

GPTD


Assalamualaikum w.b.t
DG-Georgetown, Pulau Pinang


Laman web rasmi GPTD
gptd.blogspot.com


Entri Pengenalan Misi Aktiviti Galeri


Entri lepas





TRAVELOG: LAMBAIAN AKSARA SELATAN - Saudari Sarrah Rahim
Bismillahirrahmanirrahim


"Alif Lam Ro, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun secara rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui."  - surah al-Hud ayat 1

Surah dan ayat ini kuambil secara rawak demi mendatangkan ilham agar aku dapat tuliskan travelog yang telah kujalankan sebagai misi penting untuk umat Islam. Saudara seIslam yang terpinggir di bumi Laos ingin dijejak dan didekati agar dapat dikenali diri mereka dengan lebih lanjut lagi. Maka, percaturan, susunan dan takdir Tuhan itu memmang sangat luar biasa. Sungguh, secara jujurnya untuk misi kali ini aku tidak mempunyai sebarang persediaan. Awalnya, perancanganku hendak ke Acheh namun Allah menghadirkan diri aku ke bumi Laos. Perancangan awal semata-mata hendak bercuti namun takdirnya telah meletakkan diri untuk membawa misi di bahu. Hebat percaturan Tuhan, dan dengan keyakinan aku yang hampir 50-50 untuk mengikuti misi ini, alhamdulillah Allah telah permudahkan. Renungan buat diriku; Betulkah aku? Kenapa aku? Kenapa kita? Kenapa Laos?

Laos adalah negara ASEAN yang satu-satunya kehadirannya tanpa laut. Nilai negara Laos terletak pada suburnya Sungai Mekong. Seperti di kebanyakan tempat, agama Islam telah diperkembangkan ke Laos oleh pedagang dari negara China, India dan Arab terutamanya. Di negara yang sejarahnya diperintah oleh pimpinan komunis, aku dapat saksikan bahawa semua agama di negara ini diletakkan tanpa ada sebarang kelebihan dan keistimewaan oleh pihak pemerintah (keadaan semasa sekarang). Namun, apabila sampai di kota Vientiane, jelas dari struktur bangunan dan persekitarannya, agama Buddha adalah agama majoriti menjadi anutan. Perasaan janggal dapat dirasakan sepanjang misi itu lebih-lebih lagi ketika aku berjalan di pasar malam di bandar Vientiane; hanya empat orang wanita sahaja yang bertudung di sepanjang pasar malam dan dikelilingi pula ribuan manusia di kota kecil ini. 

Setibanya kami di Lapangan Terbang Whattay, Vietiane, kami disambut oleh Imam Vina dari Masjid al-Azahar. Vientiane, kota yang aku kira hanya seluas negeri Perlis ini mempunyai dua buah masjid iaitu Masjid al-Azahar dan Masjid Jamiah. Masjid al-Azahar adalah masjid yang berpegang kepada mazhab Syafie sementara Masjid Jamiah pula berpegang kepada mazhab Hanafi. Di Masjid Jamiah, ahli kariahnya terdiri daripada orang yang berasal dari India, Bangladesh dan Pakistan. Manakala, Masjid al-Azahar ahli kariahnya terdiri daripada masyarakat Kemboja, Champa, Lao, Thailand dan menurut Imam Vina terdapat beberapa orang Indonesia turut bersolat di situ. 

Di Masjid al-Azahar, terdapat ramai muallaf yang memeluk agama Islam disebabkan oleh faktor perkahwinan. Kami sempat mengenali seorang wanita yang bernama Mariam. Beliau ialah dari keturunan tempatan Lao dan kemudiannya berkahwin dengan warga Lao berketurunan Kemboja. Sempatlah kami mencatat sedikit maklumat mengenai keluarga beliau walaupun dengan kesukaran berbahasa antara satu sama lain. Kami terpaksa melukis orang lidi perempuan dan lelaki untuk menyampaikan maksud suami dan isteri kepada beliau. Betapa meruntunnya hati apabila dapat mendengar bacaan al-Fatihah oleh Mariam. Sungguh, benarlah bahawa umat Islam itu bersaudara. Perasaan persaudaraan itu dapat kurasakan seolah-olah Mariam itu saudara lama yang telah lama tidak kujumpa. 

Cuma, apa yang  aku sesalkan ialah betapa tidak berdayanya aku sebagai saudara seIslamnya untuk terus membantu beliau demi mendalami ilmu agama. Realitinya, Mariam langsung tidak tahu membaca al-Quran. Bacaan al-Fatihah yang kudengarkan tadi cuma ikutan yang aku lafazkan supaya beliau dapat bacakan sepotong ayat daripada al-Quran. Terbuktilah bahawa Islam seseorang di sini hanya ikut-ikutan tanpa mendalami ilmu Islam itu sendiri. Para muallaf hanya bergantung harap pada ahli keluarga untuk mengajar dan bilangan guru agama Islam di sini pula sangatlah terhad. Terngiang-ngiang dalam ikatan bahawa Abang Suhail memberitahu bahawa misi pertamanya di Laos, 10 tahun yang lepas, apa yang dilakukannya adalah mengajar orang Islam di sini untuk dapat melakukan sembahyang jenazah yang betul. Aku? Aku cuba lakukan sedaya apa yang kumampu lakukan.


*****

"Kamu boleh membawa kuda ke sungai, tetapi kamu tidak boleh memaksa kuda untuk minum air dari sungai itu." (Peribahasa Cina)

Ketika berada di Kedutaan Malaysia, konsulat yang membimbing kami telah mengingatkan kepada tiga pesanan yang aku rasakan amat bermakna buat para sukarelawan yang akan meneruskan misi ini di lain kali. Yang pertama adalah penggunaan kata 'aktivis'. Di negara dunia ke-3 di mana corak pemerintahannya adalah dari pimpinan komunis, penggunaan terma 'aktivis' mungkin adalah satu perkataan larangan yang boleh membawa ancaman bahaya. Perkataan 'aktivis' mungkin dianggap biasa apabila disebut di negara terbuka seperti Malaysia, tetapi di Laos, perkataan 'aktivis' boleh disalah ertikan oleh pihak pemerintah sebagai sebuah anasir subversif menurut rasional mereka. Perkataan 'sukarelawan' lebih sesuai digunakan dan kedengaran lebih mesra.

Ada apa pada nama? Ada apa pada kata?

Travelog ini bukan membahaskan makna nama atau makna kata. Jauh lagi jika ingin dianggap travelog ialah catatan terperinci sebuah itinerari suatu perjalanan. Tapi travelog itu mestilah mempunyai makna sebuah perjalanan. Setiap orang bisa tulis pagi ini aku bangun tidur dan apa perancangan perjalananku. Setiap orang bisa tulis 'the do's and don't's' di suatu tempat itu. Tapi untuk menulis kata yang mempunyai 'makna', yang terdapat begitu banyak pelajaran dan pengajaran di dalamnya, travelog dan 'travel' itu tidak menjadi semudah 'check-in', 'boarding' dan 'departing'.

Aktivis dan sukarelawan, bawalah apa saja nama dan label yang kita ada demi umat manusia. Kita bicara soal hidup. Kita bicara soal belajar. Kita bincang soal bahasa. Kita bincang soal agama. Pengalamanku ke dunia ke-3 sangat besar ertinya. Wakil Laos (Imam Vina) dengan sedikit bahasa Melayu beliau dan aku (mungkin kami) hampir kosong bahasa Lao. Namun, fikiran ini optimis. Tuhan satukan hati-hati kami ini dalam menuju jalanMu ya Allah. 

Perkara kedua ialah kata 'mengajar'. Konsulat Malaysia telah berpesan eloklah jika kata 'mengajar' ini disesuaikan kepada kata 'kongsi'. MUngkin hanya kalimah kata tapi memang membawa maksud yang berbeza. Di sini, di negara yang asing bagi kami sememangnya kami mahu berkongsi lagi lebih daripada perbuatan 'mengajar' itu sendiri. 

Semasa sesi belajar, begitu banyak sekali kami bertukar bahasa sehingga boleh dikatakan kami mampu untuk membuat kamus mini yang terdiri daripada bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Lao dan Urdu. Apa yang menarik semasa di Masjid Jamiah, 'pelajar' kami terdiri daripada keturunan Pakistan yang fasih berbahasa Lao namun sederhana dalam berbahasa Urdu. Betapa peliknya aku rasa. Kami telah bertukar-tukar pengetahuan tentang bahasa, tulisan dan sebutan. Dari Malaysia kami telah menyediakan dua buah buku modul tahap asas dalam pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris. Ya Tuhan, sebenarnya begitu banyak sekali faedah yang aku peroleh dari pelajar-pelajarku.

Secara logiknya, pembelajaran selama seminggu memnag tidak memberikan kesan melainkan hanya induksi pelajaran. Jujurnya aku sendiri berfikir tiada kepentingan (mungkin) untuk 'pelajar-pelajar'ku mempelajari bahasa Melayu. Betapa banyak sebenarnya 'pelajar'ku yang telah membantu untuk aku meneruskan urusan dan perjalananku semasa di Laos. Ya, itu penting. Aku perlu dan mesti belajar semudah-mudah bahasa Lao untuk tinggal di sini selama masa yang ada.

Peribahasa dari neara tembok besar China iaitu "Kamu boleh membawa kuda ke sungai tetapi kamu tidak boleh memaksa kuda untuk minum dari air sungai itu." Peribahasa ini tidak sampai 20 patah perkataan sekali ungkap, namun maknanya cukup besar untuk bekalan seumur hidup kami. Berpada-pada, bersopan santun dan berbudi di negara luar dengan merelakan tanpa paksaan. Peribahasa ini bukan setakat untuk misi di Laos, namun amat bermakna untuk seumur hidup.

Beza bahasa, beza budaya, beza bangsa namun satu agama. Itulah yang diutamakan dan kami sentiasa berdoa moga satu perkara yang sama ini (agama Islam) bakal membawa hati-hati kami ke jalan-Nya. Moga beza yang banyak ini dapat menyatukan hati-hati kami. Moga beza yang banyak ini menambah iman dan ilmu kami dan terbukti beza yang banyak ini yang membuat hati dan akal ini berfikir, alangkah mudah kami belajar dan mengajar anak-anak Laos. Seperti kisahnya Sairah. Anak kecilini yang baru berumur 7 tahun dan aku berumur 29 tahun. Saira berketurunan Pakistan dan bersekolah (mungkin tadika). Semasa aku berkongsi dengannya cara berbahasa Melayu, anak ini tidak putus asa dan suka bertanya. Anak ini sangat suka menulis dan melukis. Anak ini banyak bercakap padaku dengan fasih loghat Lao. Aku tergamam kerana aku langsung tidak memahami apa yang dikatakannya. 

Saira mempunyai lima orang kakak dan beberapa lagi adik-beradik lelaki yang aku kurang pasti berapa orang. Daripada enam orang adik-beradik perempuan, aku difahamkan bahawa hanya dua orang yang bersekolah iaitu Sanaa' dan Kinza. Mereka mendapat pendidikan dari Madrasah di Pattani, Thailand. Sepanjang tiga hari kami ke masjid untuk mengajar, hanya adik-beradik inilah yang datang ke masjid untuk belajar. Pada hari pertama sesi mengajar, kami telah membahagikan anak-anak ini kepada dua kumpulan yang terdiri daripada kumpulan lelaki dan perempuan. Pada hari kedua pula, kami telah menjalankan sesi pengajaran dan pemcelajaran secara kelas. Sahabatku Najwa memulakan dengan mengajar bahasa Arab, Khadijah pula bahasa Inggeris dan aku mengajar mereka menyanyi lagu dalam bahasa Melayu. Mungkin tidak sempurna tetapi itulah masa, tempat dan ilmu yang kami sempat bawa untuk dikongsi bersama-sama anak-anak ini.



*****

"Ingatlah, ke mana pun pergi, apa pun dibuat, berdoalah supaya sentiasa dekat dengan Allah. Sesungguhnya, setiap kali perjalanan dibuat, tujuan yang besar hanya satu iaitu menyucikan hati." - Hani

Ungkapan ini aku dapat semasa sesi kultim yang dikongsi oleh Saudari Hani. Perjalanan yang bagaimanakah yang menyucikan hati?

Travelog ini mungkin tidak dimulakan dengan situasi berlepasnya kapa terbang AirAsia dari Malaysia ke Laos. Travelog ini tidak diakhiri dengan sampai semula aku di KLIA pada waktu dan hari sekian. Tapi travelog ini aku ingin penuhkan dengan erti sebuah perjalanan. Erti sebuah perkenalan, serta sebuah perkongsian. Travelog ini mungkin tidak dikongsikan sehabis baik mengikut turutan peristiwa dari hari pertama hingga hari terakhir. Tapi, travelog ini akan penuh dengan NAMA.

Semasa hari kedua kami di Masjid al-Azahar, 'pelajar-pelajar' kami terdiri daripada umur sekecil enam tahun, lapan tahun sehinggalah belasan tahun. Di masjid ini, bolehlah dikatakan kami mempunyai pelajar yang rajin dan cepat belajar, iaitu Vanita. Vanita berumur 8 tahun kalau dilihat pada ketinggian dan saiz badannya. Vanita pandai mengaji muqaddam dan menunjukkan kesungguhan untuk belajar apa sahaja daripada kami. Seseklai aku memerhatikan dan mengajar Vanita untuk menulis tulisan Jawi. Sehingga membuat origami smapan pun Vanita ialah pelajar yang paling teruja dan beliau mahukan 'sampan' buatannya yang paling kemas sekali.

Semasa hari pertama, terdapat lebih kurang 10 orang pelajar yang datang ke masjid untuk belajar. Kami telah membahagikan pelajar mengikut sistem individu iaitu seorang guru mengajar 2-3 pelajar sahaja. Aku telah mengajar Fairous dan Lorny. Kedua-duanya berumur 19 dan 20 tahun. Terdapat lagi dua pelajar dewasa berumur 25 dan 16 tahun.

Semasa hari ketiga kami di Laos, Imam Vina membawa kami berjumpa dan beramah mesra dengan penduduk Islam di perkampungan terdekat. Dari Masjid, aku membonceng motor bersama Khadijah. Pemandu motornya ialah Fairous. Tiga orang, satu motor di atas tanah yag baru berturap (jalan utama) kemudian hanya lebih kurang 50 meter jalan tanah merah untuk masuk ke simpang penduduk kampung. Sepanjang mungkin lima minit di atas motor itu aku dan Khadijah bergelak ketawa tidak berhenti kerana bersempit-sempit naik motor tiga orang. Bila difikir semula, aku pun tidak pasti apa yang kelakar, tapi mengingatkan embali detik itu, sekarang pun aku boleh tersenyum sendiri lagi.

Kami menziarahi rumah Haji Taib dan isterinya bernama Zainab. Puan Zainab boleh berbahasa Melayu kerana beliau berasal dari Kemboja, suaminya juga orang Kemboja. Tapi bahasa Melayu beliau agak terbatas sedikit mungkin kerana sudah terlalu lama menetap dan biasa berbahasa Lao. Beliau mempunyai lima orang anak dan beliau menceritakan terdapat banyak saudara-mara beliau yang kerja berjualan kain di Malaysia. Fairous dan Alisa ialah cucu kepada Puan Zainab. Fairous mendapat pendidikan di Pattani, Thailand jadi remaja perempuan ini boleh sedikit berbahasa Melayu slang Kelantan. Di rumah itu, Puan Zainab menyantuni kami dengan mempelawa kami mencuba makanan kegemaran rakyat Lao iaitu Tamnong dan Joujun. Tamnong ialah makanan seperti Somtham (campuran mangga, betik muda, air asam dan sebuk cili semacam kerabu) dan Joujun ialah popia berinti sayur dan ikan.

Pada malam terakhir seblum pulang ke Malaysia, kami berpeluang menjamah makanan dari orang tempatan Muslim Lao. Satu kenduri telah diaturkan sebelum kami pulang. Juadah mereka ialah nasi beserta lauk ikan masak lemak. Kalau di Malaysia juadah ini seperti nasi dagang dari Terengganu. Beras di sana seperti nasi pulut. Kedatangan kami sekali ke bumi Laos mungkin tidak merubah atau memajukan Muslim minoriti di sana, namun apa yang boleh diharapkan pada masa akan datang, mungkin kami atau orang lain dapat menyantuni mereka secara berkala. Berkongsi apa adanya supaya mereka tahu ada yang menyatukan kita semua iaitu agama Allah.

Pendidikan di negara Laos sangatlah berbeza tahapnya dari Malaysia. Apatah lagi pendidikan Islam dalam kaum minoriti Muslim di sana. Berdasarkan carian di internet, kadar literasi juga sangatlah jauh jurang antara lelaki dan perempuan. Seperti di kebanyakan negara ke-3, pendidikan untuk kaum perempuan sangatlah terhad dan tertutup. Jadi, begitulah misi pendidikan kali ini cuba disempurnakan sebaik mungkin untuk warga Muslim Laos. Semoga perjalanan ini bukanlah yang pertama dan terakhir dalam siri kehidupan kami. Perjalanan yang menyucikan hati adalah perjalanan yang sentiasa berfikir tentang Allah dan hikmahnya serta dengan hati yang beriman kepada Allah.




#RahmatanLilAlamin
#LambaianAksaraSelatan

22/6/2016 - 4.00pm
-Sarrah Rahim







Laporan Bersiri DG-Georgetown: Siri 9
Assalamualaikum wbt,


Tarikh: 5 Rabiulakhir 1437H, 2016.
DG: Siri 9
Tempat: Gelugor.
Kehadiran: 3/14

Alhamdulillahi taala, DG Siri 8 telah diadakan dengan penuh pengisian yang bermanfaat. Berikut adalah pengisian diskusi grup berikut :-

 Perbincangan buku Usrah & Dakwah karya Imam Hassan al-Banna
 Surah an-Naziat (Ayat 1-3)


PENGISIAN DISKUSI

3 rukun utama Usrah ialah, taaruf, tafahum, takaful. Andai sesebuah usrah berjaya menerapkan ketiga-ketiga rukun ini dalam kalangan ahli usrah, nescaya ia akan mengikat fikrah anggota usrah. 

TAARUF
Bukan sahaja beerti berkenalan. Namun, taaruf dalam sesebuah usrah beerti kita mengenali ahli usrah secara dekat, dengan lebih mendalam. Bukan sekadar bertanyakan nama dan dsb, namun kita juga kenal sifat dan cara berkomunikasi dengannya. 

TAFAHUM
Saling memahami. Untuk memahami seseorang bukanlah semudah abc dengan hanya mengenalinya Namun kita perlu tahu angin dingin dan cara mengendalikannya. Slaing memahami sesama ahli usrah juga perlu dalam mengekalkan keharmonian sesebuah usrah. 

TAKAFUL atau TAAWUN
Saling membantu antara satu sama lain. Ada sesetengah mengatakan taawun adalah rukun keempat namun secara kasarnya takaful dan taawun merupakan maksud yang sama. Membantu dalam ahli usrah. Rukun ini juga membantu dalam menjaga privasi dan rahsia ahli usrah.


PENGISIAN AN-NAZIAT (AYAT 1-3)

an-Naziat 1-3


Ayat 1
'Dalam' dan 'tangkas' = hal keadaan bintang di langit. Malaikat mencabut nyawa dengan cepat dan tanpa ragu-ragu.

Ayat 2
Dunia bagaikan transit, hanya sementara. Manusia akan melalui alam-alam yang berbeza apabila tiba masanya. 

Ayat 3
Perbezaan kelajuan seseorang dalam melalui alam barzakh. Ada yang cepat, ada yang lambat berdasarkan amal ibadat di dunia.


Wallahualam. 



Lambaian Aksara Selatan: Melihat atau Membantu ?
Assalamualaikum w.b.t





MISI PENDIDIKAN KE LAOS - LAMBAIAN AKSARA SELATAN

Sebuah misi pendidikan yang akan dijalankan di bawah Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Relawan yang bakal menjalankan misi ialah DG-Georgetown. Insyaallah, misi akan dijalankan pada 31 Mei - 4 Jun 2016.

Q&A ?

1) Berapakah bajet misi ?
Tiket pergi dan balik hanya RM420 dan bajet keseluruhan misi ialah RM800 seorang.


2) Duit sendiri atau dana ?
Setakat ini, insyaallah hanya harga tiket (RM420) sahaja yang perlu ditanggung. Selebihnya akan ditampung melalui dana dan sumbangan orang ramai. Dana perlulah dicari oleh para relawan dengan pelbagai kaedah. Hal ini bagi melatih relawan agar berdikari.



3) Macam mana nak cari dana ?
Alhamdulillah, melalui pengalaman sebelum ini kami berjaya mengutip dana dari bank-bank tempatan, beberapa individu dll.



4) Apakah objektif misi ?
Objektif misi pendidikan ini ialah memberi pendidikan asas dan pendedahan tentang Bahasa Inggeris dan Islam kepada masyarakat Laos.



5) Boleh non-Muslims join ?
Boleh, tiada masalah. Isu masyarakat adalah isu global.

6) Apakah yang perlu dibuat ?
Modul pendidikan asas telah disediakan untuk membantu para relawan. Antara tugas yang perlu dilaksanakan adalah mengajar, belajar dan diajar. Para relawan akan mengajar pendidikan asas, Bahasa Inggeris dan pendidikan Islam kepada masyarakat Laos. Di samping itu, para relawan dapat belajar tentang kebudayaan dan keunikan masyarakat sana. Relawan juga akan menyediakan beberapa bantuan pengajaran kepada masyarakat Laos.

7) Apakah persediaan @ kriteria relawan yang diperlukan ?
Bersedia dari segi fizikal, mental dan rohani. Relawan perlu mengetahui asas Bahasa Inggeris dan pendidikan Islam serta menguasai serba sedikit bahasa harian Lao.

8) Saya tidak pandai berbahasa Lao, boleh sertai misi ini ?
Boleh, kami akan mengadakan kelas bahasa harian Lao melalui ws dan diskusi grup (DG) sebelum menjalankan misi.

9) Siapakah yg boleh menyertai misi ini ?
Terbuka kepada sesiapa sahaja berumur 16-40 tahun.

10) Bagaimana saya nak mengenali GPTD dan mengetahui perkembangannya ?
Ws nombor yang tertera di poster @ layari laman web rasmi GPTD http://gptd.blogspot.com


SUMBANGAN DIPERLUKAN !
                                                                 -Wang 
                                                                 -Buku terpakai
                                                                 -Alatan tulis


Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui;
 Bank CIMB: 8600531314 (Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia)
♥ Madrasah Uthmaniah, 2157, Tingkat Sg. Gelugor 8, 11700, Gelugor, Pulau Pinang

KEPADA YANG BERMINAT UNTUK MENJADI RELAWAN SILA ISI BORANG INI --> BORANG RELAWAN

Wallahualam. 

Berminat untuk menyertai Misi ke Laos ?
Hubungi Hdariyani di talian +60138691527
Atau
Email ke dg.georgetwn@gmail.com

Laporan Bersiri DG-Georgetown: Siri 8
Assalamualaikum w.b.t

Tarikh: 10 Rabiulakhir 1436H, 2015.
DG: Siri 8.
Tempat: Masjid USM.
Kehadiran: 4/14

Alhamdulillahi taala, DG Siri 8 telah diadakan dengan penuh pengisian yang bermanfaat. Berikut adalah pengisian diskusi grup berikut :-

 Membincangkan Surah an-Naba' (Ayat 36-40)


PENGISIAN AN-NABA' (AYAT 36-40)


Surah an-Naba'


AYAT KETIGA PULUH ENAM - EMPAT PULUH

Masih lagi membincangkan tentang nikmat kurniaan Tuhan. Nikmat yang hanya golongan terpilih sahaja yang merasainya. Bagaimana ingin memperoleh nikmat tersebut ?

-Setiap kali solat, pohonlah pada Tuhan agar dikurniakan rezeki yang luas, nikmat yang melimpah ruah
-Beramal soleh dengan setiap kelakuan seharian
-Hati yang tenang ialah hati yang sentiasa mengingati Allah
-Andai kita membantu agama Allah, nescaya pasti Dia akan membantu kita


Wallahualam.


Berminat untuk menyertai Misi ke Laos ?
Hubungi Hdariyani di talian +60138691527
Atau
Email ke dg.georgetwn@gmail.com

Laporan Bersiri DG-Georgetown: Siri 7
Assalamualaikum w.b.t


Tarikh: 7 Dzulkaedah 1435H, 2014.
DG: Siri 7.
Tempat: Masjid Negeri.
Kehadiran: 5/14

Alhamdulillahi taala, DG Siri 7 telah diadakan dengan penuh pengisian yang bermanfaat. Berikut adalah pengisian diskusi grup berikut :-

 Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan bacaan Mathurat
 Membincangkan Surah an-Naba' (Ayat 31-35)
 Perbincangan Misi ke Laos. Tarikh misi telah ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan semua ahli telah mempersetujuinya. 


PENGISIAN AN-NABA' (AYAT 31-35)


Surah an-Naba'

AYAT KETIGA PULUH SATU - TIGA PULUH LIMA
Menurut Tafsir al-Azhar karangan HAMKA, ayat-ayat ini adalah berkenaan nikmat Syurga. Semua orang ingin masuk Syurga, tetapi hakikatnya berapa orang yang berusaha untuk memasukinya ? Nikmat Syurga, beruntung bagi sesiapa yang merasainya kerana tiada yang sia-sia di dalamnya. Ini merupakan janji dan ganjaran Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya yang bertawakkal dan beriman kepadaNya. 


Wallahualam.


Berminat untuk menyertai Misi ke Laos ?
Hubungi Hdariyani di talian +60138691527
Atau
Email ke dg.georgetwn@gmail.com

Laporan Bersiri DG-Georgetown: Siri 6
Assalamualaikum w.b.t


Tarikh: 27 Syawal 1435H, 2014.
DG: Siri 6.
Tempat: Masjid USM.
Kehadiran: 7/14

Alhamdulillahi taala, DG Siri 6 telah diadakan dengan penuh pengisian yang bermanfaat. Berikut adalah pengisian diskusi grup berikut :-

 Dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan bacaan Mathurat
 Membincangkan Surah an-Naba' (Ayat 21-30)


PENGISIAN AN-NABA' (AYAT 21-30)


Surah an-Naba'


AYAT KEDUA PULUH SATU - TIGA PULUH
Menurut tafsir al-Azhar, ayat 21-30 menceritakan tentang penderitaan di dalam Neraka Jahannam. Juga ada menyebut tentang Thaghin yakni orang yang ingkar akan arahan Allah. Justeru, kita dinasihatkan agar menjauhi sifat Thaghut.

Tambahan oleh Saudari Inani;
Neraka Jahannam merupakan tempat bagi mereka yang mengingkari arahan Allah s.w.t walaupun mengetahui kebenaran. Namun, kita harus ingat bahawa Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengampun serta Dia akan menerima taubat hamba-hambaNya.



Wallahualam.

Berminat untuk menyertai Misi ke Laos ?
Hubungi Hdariyani di talian +60138691527
Atau
Email ke dg.georgetwn@gmail.com 



Laporan Bersiri DG-Georgetown: Siri 5
Assalamualaikum w.b.t



Tarikh: 14 Ramadhan 1435H, 2014.
DG: Siri 5.
Tempat: Taman Tun Sardon.
Kehadiran: 5/14

Alhamdulillahi taala, DG Siri 5 telah diadakan dengan penuh pengisian yang bermanfaat. Berikut adalah pengisian diskusi grup berikut :-

 Membincangkan Surah an-naba' (Ayat 15-20)
 Jamuan Makan


PENGISIAN TAFSIR AN-NABA' (AYAT 15-20)


Surah an-Naba'


AYAT KELIMA BELAS - DUA PULUH
Menurut Tafsir al-Azhar ayat 15-20 mengisahkan tentang nikmat Tuhan dan Hari Keputusan. Nikmat Tuhan yang paling besar ialah kesihatan. Berapa ramai manusia di muka bumi ini yang mensyukuri nikmat Allah ? Jawapannya sedikit. Ayat berikutnya mengisarkan tentang debaran dan ketakutan yang bakal dihadapi oleh umat Islam apabila menanti Hari Keputusan. 

Wallahualam.


Berminat untuk menyertai Misi ke Laos ?
Hubungi Hdariyani di talian +60138691527
Atau
Email ke dg.georgetwn@gmail.com



Older Post